Monday, September 03, 2007

SATU LAGI HIKAYAT.

Telah dihikayatkan juga bahwa pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Maruan bahwa ada seorang muda yang elok parasnya di dalam negeri Syam dan ia suka bermain dengan menunggang kuda. Maka pada satu hari ia telah menunggang kudanya dengan laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah itu tiba-tiba terlanggarlah dengan salah seorang anak baginda yang kebetulan ada di situ, lalu anak baginda itu pun mati.

Maka berita itu telah sampailah dengan segera kepada Khalifah dan Khalifah pun memerintahkan supaya pemuda itu dibawa menghadapnya. Apabila pemuda itu telah hampir kepada Khalifah maka teringatlah pada hatinya hendak bernazar bahwa sekiranya Allah Ta'ala melepaskan dia daripada angkara itu maka ia akan mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam majlis jamuan itu.

Apabila pemuda itu sampai di hadapan Khalifah dan Khalifah memandang kepadanya, tiba-tiba baginda telah tertawa, padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa terlalu murka, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu: "Adakah engkau pandai ilmu sihir?" Jawab pemuda itu, "Demi Allah tidak sekali-kali hai Amirul mu'minin." Berkata baginda: "Baiklah aku ampunkan engkau, tetapi katakanlah kepada aku apakah rahasia engkau?" Jawab pemuda itu: "Aku telah berkata di dalam hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkara yang sangat berat ini, aku akan mengadakan satu jamuan bagi Maulid Nabi s.a.w."

Baginda berkata: "Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi s.a.w. itu dan engkau sekarang terlepaslah daripada sebarang balasan bagi membunuh anakku itu.”

Maka pemuda itu pun keluarlah dan telah selamat daripada balasan bunuh dan telah menerima pula seribu dinar ialah dengan berkat Maulid Nabi s.a.w.