Monday, September 03, 2007

ABU LAHAB

Telah diriwayatkan bahwa apabila Nabi s.a.w. dizahirkan maka seorang hamba perempuan yang bernama Thuwaibah telah datang kepada Abu Lahab, (yaitu salah seorang bapa saudara Nabi s.a.w. dan tuan punya hamba itu) lalu hamba itu memberitahu kepadanya berkenaan kezahiran seorang lelaki bagi saudaranya, Abdullah. Maka Abu Lahab telah berasa amat sukz lalu ia terus memerdekakan hamba itu pada ketika itu juga. Kemudian ia telah mengupah akan bekas hambanya itu supaya menyusukan Nabi, s.a.w. selepas kezahirannya itu selama beberapa hari.

Kemudian telah diriwayatkan bahwa selepas matinya Abu Lahab itu maka ada seoranq telah mimpi berjumpa dan bertanya kepadanya: "Apa hal engkau sekarang?" Jawab Abu Lahab: "Aku di dalam neraka tetapi keadaanku telah diringankan pada tiap-tiap malam Itsnin, karena aku dapat mengalir air di antara celah jariku sekedar banyak ini," (lalu ia tunjukkan kepada lekok di ibu jarinya)," dan yang demikian itu ialah dengan sebab aku memerdekakan Thuwaibah apakala ia memberitahu kepadaku tentang kezahiran Muhammad, dan pula aku telah mengupah Thuwaibah untuk menyusukan dia." Demikianlah riwayat itu.

Maka sekiranya beginilah hal Abu Lahab yang kafir musyrik itu (di dalam Quran telah diturunkan satu surah khas untuk mencelanya) dibalas dengan baik di dalam api neraka dengan sebab kesukaannya pada hari kezahiran Nabi yang terpilih s.a.w. itu maka bagaimanakah pula hal seorang yang mempercayakan keesaan Tuhan sepanjang umurnya yang bergembira dengan hari kezahiran Nabi s.a.w. dan bersedekah pula karena cintakan dia.

Demi sesungguhnya tidak dapat tiada balasan untuk orang yang seperti ini daripada Allah Ta'ala yang maha Pemurah itu ialah memasukkan dia dengan kelebihanNya dan kemurahanNya ke dalam Surga yang penuh dengan ni'mat untuk selama-lamanya.

Maka dapatlah diketahui daripada apa yang tersebut itu bahwa mengambil berat tentang Maulidnya s.a.w. yang mulia itu ialah satu daripada sebesar-besar perkara yang boleh mendekatkan seseorang kepada Tuhan. Dan hal yang demikian itu boleh didapati dengan memberi makanan kepada fakir miskin, dan membaca Quran dan membaca kisah sejarah Nabi s.a.w. dan kasidah-kasidah berkenaan dengannya, dan lain-lain perkara yang tidak mengandungi perkara perkara yang haram atau makhruh.